PELAKON terkenal, Rita Rudaini, 48, melakar sejarah peribadi apabila dianugerahkan Anugerah Ibu Ikon dalam acara Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, sebagai pengiktirafan atas dedikasi Rita dalam membesarkan anakanak seorang diri.
Acara berprestij ini dianjurkan oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Ia memberi tumpuan kepada penghargaan terhadap wanita, terutama ibu tunggal, yang mampu menyeimbangkan kerjaya dengan tanggungjawab keluarga.
Dalam ucapannya, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, menyatakan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan tersebut.
Menurut Rita, anugerah ini bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga untuk semua ibu di luar sana yang berjuang demi keluarga mereka.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak penganjur atas pengiktirafan ini.
Saya diberitahu pemilihan ini adalah berdasarkan penilaian peranan saya sebagai ibu tunggal yang berdedikasi dalam mendidik anak-anak,” ujarnya penuh kesyukuran.
Rita juga menekankan bahawa semua ibu ialah ikon buat anak-anak mereka.
Kisah hidupnya yang penuh cabaran dan sering menjadi perhatian media sepanjang lebih 15 tahun membesarkan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, seorang diri – memberikan inspirasi kepada ramai wanita di luar sana.
Anugerah Ibu Ikon ini adalah simbol ketabahan dan pengorbanan seorang ibu tunggal yang berjaya mendidik anak-anak dan membina kerjaya cemerlang.
Rita berharap pengiktirafan ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada ibu-ibu tunggal di luar sana, membuktikan bahawa kasih sayang dan tekad yang kuat mampu membawa kejayaan dalam apa-apa jua cabaran.



