KUCHING: Sebanyak RM1.12 juta dibelanjakan Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membangunkan kawasan pertanian di DUN Kalaka yang memberi manfaat kepada 136 pekebun kecil di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, pelaksanaan projek tersebut turut melibatkan keluasan 16.2 hektar serta pembinaan empat kilometer jalan ladang.
“Sepanjang pelaksanaan projek berkenaan, sebanyak 29,000 tan metrik hasil pertanian berjaya dihasilkan dengan nilai RM200,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkaitan indikator pencapaian serta keberkesanan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil, nelayan dan petani pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaksanakan tiga strategi utama bagi memperkasa pekebun kecil sawit.
Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) turut membangunkan kawasan di DUN Kalaka melalui Estet Kelapa Sawit Roban Utara seluas 6,633 hektar yang melibatkan 1,791 peserta.
Menjelas lanjut, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan, pembangunan infrastruktur dan sokongan teknikal bagi meningkatkan pendapatan serta produktiviti penternak dalam sektor ternakan.
“Bagi sektor perikanan di Betong, kerajaan melaksanakan pelbagai bantuan termasuk peralatan nelayan bernilai RM300,000.
“Program Tabung Pemudahcara Pertanian (AFF) sebanyak RM355,000 serta elaun sara hidup RM250 sebulan kepada 61 nelayan turut disediakan.
“Sebanyak RM183,000 dibayar pada tahun 2025, manakala RM45,750 lagi direkodkan bagi suku pertama 2026,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata penilaian keberhasilan projek pembangunan Bahagian Tanaman di bawah RMK-13 dilaksanakan setiap enam bulan bagi tempoh tiga tahun selepas projek siap.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan bantuan khusus bagi peralihan penternak kecil kepada penternakan komersial.



