MARUDI: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1 juta setiap tahun untuk sembilan sekolah menengah di pedalaman Baram bagi membolehkan para pelajar mengikuti tuisyen dalam talian menggunakan perisian ‘Khan Academy’.
Menurut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, usaha itu untuk memperkasa pelajar luar bandar dalam bidang Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menggunakan pembelajaran jarak jauh.
“Untuk bajet permulaan projek khas ini sebanyak RM1 juta diperuntukan setiap tahun, kita mengambil kesemua sembilan sekolah menengah di Baram untuk mengadaptasi penggunaan teknologi dari segi tuisyen dalam talian.
“Ini bagi menyediakan tuisyen tambahn menggunakan sukatan pelajaran ‘Khan Academy,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Hotel Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Marudi, semalam.
Ujarnya, usaha itu bagi menyokong inisiatif pihak swasta yang mengembangkan pembelajaran dalam bidang STEM di pedalaman Baram berbantukan komputer menggunakan perisian “Khan Academy” yang terkenal di dunia serta diperakui oleh Lembaga Kolej ISA.
“Kita menyokong inisiatif seumpama itu supaya para pelajar kita termasuk di luar bandar dapat menguasai bidang STEM serta berbahasa Inggeris.
“Sekiranya projek ini berjaya, ia akan dikembangkan ke seluruh negeri sejajar dengan agenda kita untuk menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak di peringkat universiti,” jelasnya.
Tambahnya, projek yang dimulakan oleh pihak swasta itu telah membuktikan kejayaan melalui program perintis di SMK Datuk Temenggong Lawai Jau, Baram dengan pencapaian dalam keputusan SPM yang dikeluarkan pada bulan Jun 2022, 34 peratus pelajar memperoleh 4 A dan ke atas. Sekali lagi, hanya 3 peratus dalam Kumpulan Kawalan memperoleh 4A dan ke atas.
“Inisiatif ini juga untuk membangunkan bakat anak-anak muda bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan pasaran masa hadapan serta mentransformasikan ekonomi negeri,” ujarnya.

