ARTIKEL

Abang Johari ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan DUN Sarawak, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

RM10 juta untuk peralihan tenaga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta pada 2027 untuk inisiatif bersasar menerusi Pelan Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) bagi menggalakkan audit tenaga dan penjimatan tenaga di bangunan serta industri.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan itu merangkumi Geran Padanan Peralihan Tenaga bagi pembangunan projek dan pelaksanaan projek perintis serta Geran Kecekapan Tenaga.

“Kita juga sedang menubuhkan Rangkaian Pembiayaan Campuran Sarawak untuk menggerakkan modal dan memastikan pembiayaan disalurkan kepada projek yang memajukan kelestarian.

“Melalui SET-P, peralihan tenaga Sarawak tidak dilaksanakan secara terasing.

Sebaliknya, ia disepadukan dengan matlamat lebih luas kita, iaitu kepelbagaian ekonomi, pertumbuhan pelaburan, keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, Sarawak kini memasuki lembaran baharu dalam perjalanan pembangunan tenaganya dan melalui SET-P, kerajaan sedang merangka laluan terancang ke arah masa depan tenaga yang saksama, boleh dipercayai dan rendah karbon.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata SET-P yang diperkenalkan pada Ogos 2025 mengimbangi aspek keselamatan tenaga, kemampuan kos, pertumbuhan dan kelestarian, manakala mulai 2026, tumpuan kerajaan adalah kepada pelaksanaannya.

“Menjelang 2050, matlamat peralihan ini adalah untuk menyumbang sebanyak RM550 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan serta menarik pelaburan sehingga RM700 bilion,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan pada tahun hadapan bagi melindungi hutan Sarawak daripada pencerobohan haram dan eksploitasi yang tidak mampan, dengan penguatkuasaan diperkukuh melalui penggunaan peralatan pengecaman forensik kayu berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Teknologi ini akan membolehkan agensi penguat kuasa mengenal pasti spesies kayu dalam masa beberapa saat, melindungi hasil negeri serta mempertahankan reputasi Sarawak dalam aspek kesahan dan kelestarian,” katanya.

Beliau menambah, di bawah belanjawan tersebut, sebanyak RM4.22 juta turut diperuntukkan bagi memastikan hutan Sarawak kekal sebagai warisan abadi.

“Kita akan terus memperluas dan memperkukuh Hutan Simpanan Kekal (HSK), yang menjadi tunjang kepada biodiversiti Sarawak.

“HSK Sarawak perlu diuruskan sebagai landskap hutan pelbagai fungsi yang memulihara biodiversiti, memulihkan kawasan terosot, menyokong pengeluaran hasil hutan secara mampan, menyumbang kepada mata pencarian masyarakat setempat serta memberikan manfaat alam sekitar, sosial dan ekonomi untuk jangka panjang kepada generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

BERITA LAIN

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih

BERITA TERBARU

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih