KUCHING: Penduduk Kampung Sungai Tapang bakal menikmati pembaharuan kemudahan balai raya September depani.
ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin berkata, aduan berkaitan keadaan balai raya itu telah diusulkan oleh penduduk kampung kepadanya.
“Penduduk Kampung Sungai Tapang sebelum ini meminta bantuan saya memandangkan keadaan balai raya yang tidak memuaskan berikutan kekurangan dana sejak 16 tahun lalu dan ia sangat memerlukan penambahbaikan.
“Skop kerja kontrak berjumlah RM100,000 adalah untuk penggantian pendawaian elektrik, kerja-kerja pembaikan bumbung, penutup jendela gulung, longkang air hujan dan juga kerja-kerja pengubahsuaian tandas dan dapur sedia ada,” katanyanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penyerahan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih Balai Raya Kampung Sungai Tapang kepada kontraktor bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Mengulas lanjut, Wilfred mengingatkan kontraktor supaya bekerjasama dengan agensi pelaksana (JKR) bagi menyelesaikan sebarang masalah dan fokus kepada pembaikan dan naik taraf agar dapat disiapkan dalam tempoh 16 minggu seperti yang diperuntukkan untuk projek tersebut.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 11 September depan, saya berharap Syarikat Pembinaan Sampun Maju mematuhi tempoh tersebut,” tegasnya.
Wilfred juga mendedahkan ada menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung kerosakan jalan kampung yang disebabkan oleh kontraktor projek jalan yang dibiayai Persekutuan berhampiran.
“Saya telah menghubungi JKR dan maklum balas mereka ialah mobilisasi jentera untuk kerja pembaikan dijadualkan pada 20 Jun dan kerja-kerja pembaikan dijadualkan siap pada 24 Jun.
“Saya harap Ahli Parlimen DAP juga memainkan peranan dalam melaporkan masalah sebegini kepada pihak berkuasa tanpa menunding jari terhadap sesiapa,” ujarnya.
Beliau bertegas, Ahli Parlimen DAP sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan harus sedar bahawa kebanyakan masalah tidak boleh diselesaikan dengan hanya memanggil sidang media atau mengeluarkan kenyataan akhbar tetapi dengan tindakan yang realistik untuk menyelesaikan masalah.
“Jika masalah boleh diselesaikan hanya dengan sidang akhbar atau kenyataan akhbar yang menyalahkan kerajaan atau ADUN, maka tidak perlu lagi rakyat memilih ahli parlimen untuk berkhidmat kepada mereka,” ujarnya.
Selain itu, Wilfred bersamasama pegawai Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sebagai agensi pelaksana, menjalankan pemeriksaan akhir selepas kontraktor yang dilantik memaklumkan bahawa mereka telah menyiapkan kerja-kerja pembinaan di Jalan Semaba.
“Kerja pembinaan ini ialah menaik taraf longkang tanah sedia ada kepada longkang konkrit dengan jumlah kontrak RM260,000.
“Jumlah kontrak RM260,000 untuk kerja-kerja menaik taraf longkang adalah di bawah pembiayaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kota Sentosa.
“Terima kasih kepada MPP dan pihak kontraktor kerana menyiapkan kerja sebulan lebih awal daripada jadual,” tambahnya.
Terdahulu, projek menaik taraf perparitan di Jalan Semaba ini bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan.


