DARO: Sebanyak RM101,000 disumbangkan untuk membantu penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan sempena Ramadan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro.

Majlis penyerahan sumbangan diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad di sini, hari ini.

Menurut beliau, setiap masjid dan surau yang besar masing-masing menerima RM5,000 manakala surau yang lain RM4,000 termasuk sebuah gereja dan Tua Pek Kong yang keseluruhannya berjumlah RM101,000.

“Sumbangan bertujuan mengimarahkan sambutan Ramadan di samping membantu pihak masjid dan surau melaksanakan aktiviti yang bermanfaat untuk masyarakat setempat,” katanya kepada wartawan.

Pada masa yang sama, Majlis Islam Sarawak melalui Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) turut menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada semua masjid dan surau di kawasan berkenaan.

Safiee (tengah) mengabadikan kenangan bersama penerima sumbangan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mahu jawatankuasa pengurusan masjid dan surau memperbanyakkan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.

Program seumpama itu katanya, mampu memberi kesan positif terhadap masyarakat selain merapatkan hubungan dan mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah yang menjurus ke arah kebaikan.

“Masyarakat Islam perlu menggunakan khidmat agensi seperti Jabatan Agama Islam (JAIS) dan TBS dengan sebaik mungkin bagi memperkasakan peranan institusi masjid dan surau dalam membina kekuatan serta perpaduan ummah.

“Apa yang penting, jangan mempolitikkan isu agama, hal –hal berkaitan dengan kebajikan dan pendidikan kerana perbuatan itu tidak membawa sebarang manfaat sebaliknya, hanya menimbulkan salah faham dan merosakkan keharmonian yang sedia terjalin.

“Mudah-mudahan Ramadan tahun ini menjadi lebih baik dari sebelum ini. Semoga ibadah puasa yang kita lakukan menjadi wasilah membentuk keperibadian lebih baik dan insan yang benar- benar bertakwa,” katanya.

Pengerusi Surau Darul Ihsan Badong, Abang Shamsure Abang Wahap menerima sumbangan daripada Safiee

 

Antara jemputan yang hadir.