ARTIKEL

DATUK SERI DR STEPHEN RUNDI UTOM

RM103.3 juta diluluskan untuk lebih 300 projek jalan ladang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

OSMAN RAZALI

KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) menerima sebanyak 841 permohonan projek jalan ladang melibatkan jarak keseluruhan 3,428 kilometer di seluruh Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, bagi tahun ini sejumlah RM103.3 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan lebih 300 projek jalan ladang meliputi lebih 1,900 kilometer.

Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 18,000 petani di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, jumlah itu masih jauh daripada keseluruhan permintaan yang diterima M-FICORD, iaitu sebanyak 841 permohonan projek jalan ladang melibatkan 3,428 kilometer dengan anggaran kos keseluruhan RM347 juta.

“Permintaan ini dijangka terus meningkat pada masa akan datang memandangkan jalan ladang kekal menjadi pemacu utama dalam meningkatkan ketersambungan komuniti luar bandar,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, infrastruktur jalan yang lebih baik mampu menyokong pertumbuhan ekonomi luar bandar, meningkatkan mobiliti penduduk serta menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pertanian.

Sehubungan itu, katanya, M-FICORD akan terus memberi keutamaan terhadap pengembangan dan penaiktarafan rangkaian jalan ladang di seluruh Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Rundi berkata kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak turut menerima peruntukan RM1 bilion di bawah pelbagai program pembangunan Sarawak, selain tambahan RM10 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Katanya, inisiatif tersebut meliputi kerja menaik taraf infrastruktur pertanian sedia ada, penambahbaikan benteng pesisir, pembangunan skim pertanian baharu serta penyediaan pelan induk bagi skim saliran dan pengairan.

“Lebih 10,000 petani dan komuniti luar bandar di seluruh Sarawak dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan inisiatif ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai industri sagu dan nipah, ADUN Kemena itu berkata kedua-dua komoditi berkenaan kekal strategik dan mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan bagi memperkukuh ekonomi luar bandar serta keselamatan makanan negeri.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, eksport kanji sagu Sarawak mencecah 7,000 tan metrik bernilai RM20 juta, meningkat 17 peratus dari segi jumlah eksport dan 16 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, eksport gula apong turut meningkat kepada 25,000 kilogram bernilai RM272,000, sekali gus mencatat pertumbuhan 29 peratus dari segi jumlah eksport dan 28 peratus dari segi nilai.

Namun begitu, beliau mengakui industri berkenaan masih berdepan beberapa cabaran, termasuk tahap produktiviti rendah, tenaga kerja berusia serta kebergantungan kepada amalan pertanian tradisional menjejaskan kecekapan pengeluaran dan kelestarian jangka panjang.

Justeru, katanya, Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) akan terus komited memperkukuh industri sagu dan nipah melalui usaha memperkasa pekebun kecil, memulihkan kawasan penanaman, memperkenalkan amalan pertanian moden serta melaksanakan program pembangunan keusahawanan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU