SARIKEI: Kerajaan meluluskan peruntukan sekitar RM13 juta untuk melaksanakan projek sambungan jeti konkrit dan pembinaan benteng hakisan pantai di Kampung Paloh.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab, berkata daripada jumlah tersebut, RM7.5 juta diperuntukkan untuk memanjangkan laluan jeti bagi mengatasi masalah air cetek, manakala RM6 juta lagi untuk pembinaan benteng.
Sebagai langkah sementara, beliau menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM10,000 untuk memperbaiki kerosakan laluan jeti sedia ada.
“Fasa kedua nanti, saya akan menyalurkan peruntukan tambahan, mungkin dalam lingkungan RM100,000 atau RM200,000, melalui Projek Mesra Rakyat (PMR).
“Peruntukan RM7.5 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) termasuk dalam fasa ketiga untuk sambungan jeti konkrit kira-kira 30 meter ke laut, agar penduduk tidak menghadapi masalah melabuhkan perahu atau bot semasa air cetek.
“Manakala, RM6 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia akan digunakan untuk membina ban (penghalang ombak) bagi menghalang hakisan pantai,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri Kampung Paloh, hari ini.
Yusuf juga menggesa kerjasama semua pihak agar pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan berjalan lancar.

