KUCHING: Klinik Kesihatan Baharu Ba’kelalan Jenis 7 diluluskan dengan peruntukan RM14.8 juta, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Menurutnya, projek klinik berkenaan dijangka siap pada suku keempat 2028.
“Pelaksanaan projek itu kini dalam proses tender,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan projek menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Klinik Kesihatan Long Semadoh, Lawas turut diluluskan dengan peruntukan RM4 juta.
“Projek ini turut merangkumi pemasangan sistem tenaga solar dan akan dimulakan pada 19 Julai 2026.
Projek dijangka siap pada suku ketiga 2027,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu kerja menaik taraf Klinik Kesihatan Ba’kelalan dan Klinik Kesihatan Long Semadoh di bawah Projek Klinik Daif telah siap.
“Klinik Kesihatan Ba’kelalan menerima peruntukan sebanyak RM450,000 dan kerja menaik taraf selesai pada 19 November 2024.
“Manakala Klinik Kesihatan Long Semadoh menerima peruntukan sebanyak RM300,000 dan kerja menaik taraf selesai pada 22 Oktober 2024,” katanya.

