KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 yang memperuntukkan RM10 bilion bagi pembangunan dan RM5 bilion bagi perbelanjaan operasi mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Nur Zaimah Ubaidillah berkata peruntukan keseluruhan RM15 bilion itu menunjukkan pendekatan berorientasikan pembangunan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, peruntukan RM42 juta bagi pembangunan Universiti i-CATS University berpotensi memacu pembangunan tenaga kerja berkemahiran, khususnya dalam bidang tenaga hijau, teknologi dan sains data.
Beliau berkata, belanjawan itu turut menekankan pembangunan infrastruktur melalui usaha menaik taraf rangkaian jalan raya, bekalan air bersih dan grid elektrik di kawasan luar bandar.
“Bagi peruntukan operasi, diskaun 25 peratus bil elektrik dapat meringankan beban ekonomi isi rumah serta perusahaan kecil dalam menghadapi kesan inflasi dan peningkatan kos utiliti,” katanya.
Dr Nur Zaimah berkata, bantuan bersasar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula dapat meningkatkan daya tahan, daya saing serta aliran tunai perniagaan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Menurutnya, keupayaan Sarawak menyediakan peruntukan berskala besar itu disokong oleh hasil kutipan cukai jualan negeri terhadap produk berasaskan petroleum serta pengurusan kewangan yang kukuh.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan perbelanjaan perlu disokong oleh rangka kerja yang jelas dan strategik bagi mengelakkan kelewatan projek serta memastikan pulangan ekonomi yang optimum.
“Pelaburan modal insan, khususnya dalam pembangunan pendidikan, perlu dilaksanakan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta keperluan industri dan pihak berkepentingan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.
Tambahnya, bantuan kebajikan dan manfaat pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar juga perlu disalurkan tanpa halangan birokrasi supaya rakyat dapat menikmati manfaat yang dirancang.

