ARTIKEL

RM2 bilion untuk naik taraf 520 sekolah daif di Sabah dan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, peruntukan itu termasuk membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah di negara ini kerana mutu prasarana sekolah adalah keutamaan Kerajaaan Madani.

“Ini termasuk membaik pulih kemudahan murid dan bilik guru, susulan kejayaan kita membaik pulih tandas, kantin serta kemudahan lain dalam masa singkat.

“Selain itu, sebanyak 38 buah sekolah baharu akan dibina untuk memenuhi keperluan penduduk setempat. Di Sarawak, ia termasuk membina Sekolah Rendah (SK) Sri Sadong Serian dan SMK Desa Wira Padawan,” katanya dalam Pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan RM66.2 bilion bagi tahun hadapan berbanding RM64.2 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata projek sekolah akan disegerakan menggunakan bangunan sedia ada untuk kelangsungan pendidikan murid.

“Pembinaan bilik darjah tambahan melalui kaedah sistem binaan berindustri (IBS) di sekolah sedia ada berjaya siap dalam tempoh maksimum enam bulan.

“RM100 juta disediakan bagi membina bilik darjah tambahan di lebih 100 sekolah berkepadatan tinggi, 350 buah kelas prasekolah baharu juga dibina di bangunan sedia ada dengan peruntukan lebih RM100 juta,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperuntukkan sebanyak RM46.5 bilion pada tahun depan, berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini.

“Bagi prasarana kesihatan awam, RM1.2 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan dan baik pulih semua hospital serta klinik kerajaan.

“Di samping itu, sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf wad hospital daerah dan RM755 juta mengganti peralatan lapuk serta memperoleh peralatan canggih bagi disiplin baharu,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan menyalurkan sebanyak RM140 juta untuk menyumber luar pesakit hospital awam ke hospital tentera, universiti dan swasta; sementara RM30 juta memperkasa klinik kesihatan menyediakan perkhidmatan pakar di komuniti.

“Untuk Sarawak, inisiatif utama meliputi menyegerakan pelaksanaan pusat kanser di Kuching dan pembinaan klinik kesihatan baharu di Mukah,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU