ARTIKEL

GAPOR dan wakil MDS bergambar kenangan bersama-sama ketua-ketua kampung yang terlibat dalam sesi libat urus menaik taraf sistem perparitan di sini, semalam.

RM2 juta untuk naik taraf perparitan 12 kampung di Saratok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri memberikan tumpuan khusus kepada usaha menaik taraf sistem perparitan di 12 kampung di sekitar pekan Saratok menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan projek berkenaan yang dijangka melalui proses tender selewat-lewatnya pada hujung November depan.

“Sistem perparitan yang baik amat diharapkan penduduk di 12 kampung di pekan Saratok.

“Alhamdulillah, peruntukan telah diluluskan dan kita berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin, dengan proses tender diselesaikan selewat-lewatnya hujung November depan,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Menurutnya, sesi taklimat berkaitan projek berkenaan telah diadakan oleh Majlis Daerah Saratok (MDS) bersama-sama ketua kampung yang terlibat bagi mendapatkan maklum balas serta mengenal pasti keperluan di kawasan masing-masing.

Katanya, beliau menyokong penuh perancangan ketua-ketua kampung dalam menangani isu yang dihadapi penduduk di peringkat akar umbi, khususnya perkara yang memberikan kesan secara langsung terhadap keselesaan dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, satu lagi projek menaik taraf infrastruktur saliran di Skim Penanaman Padi Kampung Kaba turut diberi perhatian di bawah BDDA.

Tambah Mohamad, sesi libat urus berkaitan projek itu telah diadakan bersama-sama pemegang taruh dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.

“Projek ini turut dilaksanakan di bawah BDDA dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong sebagai agensi pelaksana.

“Hasil beberapa siri libat urus, beberapa perkara asas berkaitan reka bentuk, lokaliti dan izin lalu telah dapat diselesaikan sebelum projek ini ditender dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohamad berharap kerjasama semua pemegang taruh dapat diteruskan bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menurutnya lagi, projek berimpak tinggi itu berpotensi menjadi perintis kepada peluasan aktiviti penanaman padi di kawasan lain di sekitar Saratok.

“Ini termasuk kawasan Saratok, Kampung Kupang, Lubok Nibong, Kali Kaba, Kampung Perpat dan Jelupang.

“Kita amat berharap projek ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperluas kawasan penanaman padi serta meningkatkan potensi sektor agromakanan di kawasan ini,” tegasnya.

Dalam sesi libat urus berkenaan, Mohamad diwakili oleh Setiausaha Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Gapor Ahmad.

Turut hadir ialah Ahli Majlis MDS, Kaunselor Majid Amit Zainuddin.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU