
SIBU: Lebih RM20 juta telah disumbangkan Kerajaan Sarawak kepada penuntut di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dalam usaha menyediakan peluang pengajian kepada pelajar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bukan sekadar untuk menambah bilangan pelajar berdaftar di universiti, tetapi juga untuk membantu individu yang berminat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Paling penting, kita mahu menyediakan peluang kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum yang bercita-cita untuk melangkah ke menara gading.

“Kita tahu ada dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian disebabkan kekangan dari segi kewangan dan sebagainya.
“Oleh itu, menerusi bantuan yang diberikan kerajaan melalui Yayasan Sarawak diharap dapat membuka ruang kepada anak muda menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi perjumpaan Premier Sarawak Bersama-sama Pelajar Penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sarawak, di UTS, di sini, hari ini.
Tambahnya, pendidikan merupakan kunci kepada kejayaan dan hanya ilmu dapat membantu negeri membangun dengan lebih pesat.
“Oleh itu, gedong ilmu yang disediakan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kita melabur dan tanggung kos operasi universiti untuk kejayaan anak-anak muda demi masa depan rakyat dan Sarawak khasnya, dan Malaysia amnya,” ujarnya ringkas.



