ARTIKEL

AKAN BERLANGSUNG… Azizul Annuar (dua dari kiri) bersama yang lain mempamerkan poster mini Regata Batang Kayan 2026 selepas sidang media. Foto Faizal Bujang.

RM20,000 menanti ‘Raja Sungai’ Regata Batang Kayan 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Acara sukan air berprestij, Regata Batang Kayan 2026 kembali menemui peminat dan dijadual berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 September depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan memberitahu, acara dwitahunan berprestij di Daerah Lundu itu mempertandingkan lima kategori, mencakupi perahu balok 10 pekayuh lelaki, perahu bidar 15 pekayuh lelaki, perahu bidar 20 pekayuh lelaki, perahu bidar 25 pekayuh lelaki dan perahu bidar 30 pekayuh lelaki (Raja Sungai).

“Regata Batang Kayan 2026 kembali lagi dan akan berlangsung selama tiga hari.

“Perlumbaan kali ini menyediakan wang tunai RM20,000 bagi kategori tumpuan perahu bidar 30 pekayuh lelaki (Raja Sungai),” ujar Azizul pada sidang media sebentar tadi.

Hadir sama pada sidang media itu ialah ADUN N.1 Opar, Billy Sujang dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.

Selain menyatakan hadiah wang tunai keseluruhan RM106,205, Azizul pada masa sama memberitahu, perlumbaan kali ini dijangka menampilkan jaguh handalan yang pernah menjulang mahkota juara pada perlumbaan disertai masing-masing sebelum ini.

“Beberapa pasukan dari Kuching, Samarahan, Gedong, Sebuyau, Saratok sudah mengesahkan diri menyertai perlumbaan kali ini,” tambahnya.

Beliau mengakui, Regata Batang Kayan turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Acara tersebut, kata beliau, dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara jabatan dan agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti setempat dan pihak swasta.

Pelbagai aktiviti lain turut dilangsungkan, meliputi pertandingan sukan air, persembahan kebudayaan dan artis, pameran, keusahawanan, gerai jualan serta aktiviti rekreasi untuk keluarga.

Artis popular tanah air iaitu Ameng Spring dan beberapa lagi artis tempatan lain akan turut sama diundang untuk menjayakan persembahan khas nanti.

Majlis Penangguhan Regata Batang Kayan 2026 akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Perlumbaan kali ini dijangka mampu menghimpunkan sekitar 30,000 pengunjung.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU