ARTIKEL

UNTUK ALBUM... Ripin merakam kenangan bersama peserta Youth Marketplace 2026.

RM25 juta suntik ekosistem usahawan belia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak meluluskan skim pinjaman mudah berjumlah RM25 juta bagi membantu usahawan pemula mengembangkan perniagaan, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan belia di negeri ini.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, skim berkenaan kini berada pada peringkat akhir penyediaan dokumentasi di kementerian dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak.

“Kemudahan ini antara inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan usahawan muda, khususnya mereka yang baru memulakan perniagaan, mendapat sokongan sewajarnya bagi mengembangkan perusahaan.

“Harapan kita ialah skim ini dapat membantu usahawan pemula mengembangkan perusahaan mereka, selain menggalakkan mereka menyertai program dan ekspo serta meningkatkan kemahiran dan menambah baik produk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Youth Marketplace 2026 di perkarangan Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ripin berkata kerajaan Sarawak turut meluluskan Geran Sarawak Youth Startup berjumlah RM3 juta setahun bagi menyokong perkembangan syarikat pemula di bawah kementeriannya.
Katanya, kemudahan pembiayaan dan geran berkenaan penting bagi membantu usahawan muda meningkatkan kapasiti perniagaan, memperkukuh produk serta meneroka pasaran lebih luas.

Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan muda supaya tidak hanya bergantung kepada kaedah pemasaran konvensional, sebaliknya memanfaatkan pemasaran digital untuk memperluas capaian pasaran.

“Usahawan perlu sentiasa memperbaiki produk dari segi kualiti, rasa, pembungkusan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kaedah pemasaran.

“Mereka juga perlu meningkatkan keupayaan menghasilkan produk berkualiti dalam kuantiti lebih besar bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Ripin berkata penglibatan aktif belia dalam bidang keusahawanan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, khususnya dalam usaha meningkatkan pendapatan individu dan isi rumah.

Katanya, peningkatan pendapatan golongan muda bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga, malah menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat dan menyokong aspirasi Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.

“Usaha ini selari dengan PCDS 2030 kerana kita mahu generasi muda turut menikmati pendapatan yang tinggi dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

“Ia bermula dengan generasi muda dan usaha ini akan sentiasa diteruskan oleh kementerian,” ujarnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU