RM3 juta bangun Sungai Lengan

DARO: Kerajaan Sarawak memperuntuk lebih RM3 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan Sungai Lengan dalam tempoh lima tahun.

Adun Daro Safiee Ahmad berkata, sumbangan berterusan itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

Sebahagian besar peruntukan itu katanya, digunakan untuk melaksanakan projek infrastruktur awam termasuk jalan, jeti, dewan dan lain-lain.

“Ini juga menunjukkan rakyat di Sungai Lengan tidak pernah di abai. Mereka bukan sahaja terbela, malah setiap masalah penduduk di sini sentiasa mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pendamping komuniti sosial Daerah Sibu dan projek naik taraf jalan Rumah Bayang Dollah, Sungai Lengan semalam.

Safiee mengingatkan penduduk agar jangan terpengaruh dengan hasutan luar dan janji palsu pihak pembangkang sebaliknya terus bersatu bagi menjaga hak Sarawak sedia ada.

Kerajaan GPS katanya akan melakukan yang terbaik dan mengambil langkah mendekati rakyat secara menyeluruh.

“Selaras dengan penganjuran program ini, saya juga mengharapkan kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan masyarakat setempat agar berganding bahu membanteras gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah.

“Ibu bapa juga perlu memberi perhatian sepenuhnya terhadap pendidikan anak-anak agar mereka tidak tercicir dan ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi memberi jaminan tidak mengabaikan pembangunan rumah panjang dan kampung di Parlimen Igan.

Menurutnya, usaha membangunkan kawasan itu tetap menjadi keutamaan, malah salah satu agenda penting yang sering diketengah dalam persidangan Dewan Rakyat.

Sehubungan itu beliau meminta penduduk di kawasan Parlimen itu bersabar disamping terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan.

“Saya dan Safiee sentiasa berganding bahu dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terutama berkaitan peruntukan daripada Kerajaan Sarawak untuk disalurkan ke Parlimen Igan dan Daro,” katanya.

Pada masa sama, Safiee turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Pemadam Daerah Sibu dan 13 unit alat pemadam api untuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rumah Bayang Sungai Lengan.

Program dianjurkan oleh Pejabat Daerah Sibu dan disertai agensi kerajaan lain termasuk AADK Sibu, Jabatan Kerja Raya Sibu, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Hadir sama, pemimpin masyarakat setempat.