KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) memperuntukkan RM30 juta bagi membantu mentransformasikan 125 sekolah mubaligh di negeri ini, termasuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai pelajar, khususnya dari luar bandar, berpeluang meningkatkan pencapaian akademik dan seterusnya menikmati manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).

Menurutnya, perbincangan dengan 125 sekolah mubaligh itu sedang dilaksanakan, dengan peruntukan berkenaan antara lain digunakan untuk menyediakan kemudahan teknologi seperti papan pintar.
“Ini bertujuan memberi mereka peluang untuk meningkatkan prestasi di sekolah supaya mereka turut dapat menikmati manfaat daripada FTES yang disediakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain 2026 (Fasa 1) di Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.
Uggah yang juga menteri bertanggungjawab ke atas UNIFOR berkata, selain RM90 juta yang diperuntukkan bagi rumah ibadat tahun ini, RM30 juta turut disediakan untuk membantu sekolah mubaligh meningkatkan pencapaian pelajar.
Katanya, langkah itu selaras dengan hasrat Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar UNIFOR memainkan peranan lebih besar dalam membantu sekolah mubaligh.
“Program ini bukan diberikan berdasarkan kaum atau agama kerana ia terbuka kepada semua. Tidak kira apa agama atau kaum anda, tetapi anda perlu mempunyai kelayakan pendidikan yang diperlukan untuk diterima masuk ke universiti-universiti berkenaan,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini bantuan UNIFOR kepada sekolah mubaligh lebih tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, termasuk penyediaan kerusi dan penambahbaikan dewan makan.
Namun, katanya, pendekatan kini diperluas kepada pembangunan insan, kemahiran insaniah dan program motivasi bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik.
Uggah turut berharap semua wakil rakyat memainkan peranan memastikan sekolah mubaligh di kawasan masing-masing menyediakan program motivasi yang mencukupi supaya pelajar terus bersemangat untuk belajar.
“Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya percaya dengan segala bimbingan yang diberikan, pencapaian mereka akan dapat dipertingkatkan, khususnya dalam mata pelajaran sains dan matematik kerana itulah antara kelemahan utama kita ketika ini,” katanya.

