BETONG: Tiga rumah panjang di Betong menerima skim bantuan penanaman lada yang inovatif dengan nilai keseluruhan RM360,000 untuk meningkatkan pengeluaran komoditi itu.
Ahli Parlimen Betong Datuk Dr. Richard Rapu berkata, seramai 30 pekebun kecil dari Nanga Jelau Atas, Batu Lintang dan Graji Atas akan menerima input pertanian di bawah dana Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Setiap petani menerima set lengkap input untuk menanam 200 pokok lada baharu, termasuk tiang sokongan jenis polivinil klorida (PVC), keratan, baja, racun perosak dan penyembur.
“Tiga rumah panjang telah dipilih untuk program perintis ini melibatkan peruntukan keseluruhan RM360,000 atau RM12,000 setiap peserta.
“Pakej ini diperkenalkan sebagai projek perintis menggantikan tiang kayu belian yang mahal, dengan paip PVC yang merupakan kaedah yang berjaya dicuba oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi ringkas simbolik penyerahan input kepada peserta di sini, semalam.
Richard mendedahkan sebuah syarikat menunjukkan minat untuk membeli lada segar terus daripada petani.
“Ini menghapuskan keperluan untuk mengeringkan lada. Dalam masa sama memperluaskan peluang mengembangkan produk hiliran baharu seperti lada jeruk, selain produk lada hitam dan putih sedia ada.
“Ini langkah penting untuk mengukuhkan industri lada dan memastikan bekalan stabil bagi memenuhi permintaan.
“Kerajaan terus komited menyokong tanaman utama seperti lada, getah dan kelapa sawit sebagai sumber pendapatan utama masyarakat luar bandar,” tambahnya.
Inisiatif itu menonjolkan usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan kehidupan luar bandar melalui inovasi, kemampanan dan akses pasaran yang lebih baik untuk petani tempatan.
RM360,000 bantu pekebun lada di Betong tingkat pengeluaran




