RM39 juta bina jalan alternatif ke lima rumah panjang

BETONG: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM39 juta untuk membina jalan alternatif ke lima rumah panjang bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di situ.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu memberitahu, projek membina dan menyiapkan Jalan Sekatap, Meribong, Nanga Jelau, Jelau Atas dan Batu Lintang tersebut dijangka siap pada Januari 2021.

“Jalan sepanjang 12.13 kilometer (KM) tersebut terletak di sebelah kanan Sungai Layar dan akan menghubungkan lima buah rumah panjang ke lebuh raya Pan Borneo.

“Ia merupakan laluan alternatif kepada penduduk rumah panjang tersebut yang selama ini menggunakan Jalan Ulu Layar dan jalan kampung bagi rumah panjang Jelau Atas.

“Dengan siapnya jalan itu nanti akan membuka kawasan yang baharu kepada penduduk di sini selain memberi lebih keselesaan dalam menjalani aktiviti harian mereka,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada upacara miring bersempena pembinaan Jalan Sekatap, Meribong, Nanga Jelau, Jelau Atas dan Batu Lintang dekat sini, semalam.

UNTUK RAKYAT … Projek pembinaan Jalan Sekatap, Meribong, Nanga Jelau, Jelau Atas dan Batu Lintang yang amat ditunggu-tunggu penduduk dijangka siap pada 2021.

Majlis pecah tanah disempurnakan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan turut hadir sama Penasihat Sains Penyelidikan Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Residen Bahagian Betong Friday Belik serta ketua-ketua jabatan, masyarakat, kaum dan penduduk sekitar.

Menurut Rentap, projek rakyat tersebut disediakan oleh Kerajaan GPS yang sentiasa peka melihat keperluan penduduk luar bandar.

Projek membina dan menyiapkan Jalan Sekatap, Meribong, Nanga Jelau, Jelau Atas dan Batu Lintang sepanjang 12.13 KM itu dibina oleh kontraktor Sawaja Maju Sdn. Bhd.
Ia melibatkan pembinaan jalan lorong tunggal dua hala bersaiz standard R1.

12.13 KM tersebut dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti jalan utama dengan jarak 4.82 KM, jalan menuju ke rumah panjang Meribong 1.6 KM, jalan menuju ke rumah panjang Nanga Jelau 1.66 KM lengkap dengan dua jambatan dan jalan menuju ke rumah panjang Batu Lintang 4.05 KM lengkap dengan satu jambatan.

Andai siap kelak, jalan tersebut diyakini memberi manfaat kepada 500 penduduk di lima rumah panjang yang terlibat.