KUCHING: Kerajaan Sarawak menjangkakan unjuran pendapatan untuk tahun ini akan mendapat impak, memandangkan persekitaran ekonomi yang mencabar dan isu geopolitik mempengaruhi pasaran minyak serta gas di peringkat global.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi tahun ini unjuran hasil adalah pada RM14.2 bilion dengan setakat April, sejumlah RM4.3 bilion atau 30 peratus daripada unjuran hasil dikutip.
“Ia disumbangkan oleh sumber utama iaitu cukai jualan negeri sebanyak RM1.76 bilion, pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas (RM1.17 bilion),
dividen (RM608 juta), royalti air mentah (RM229 juta), faedah pendapatan (RM250 juta).
“Selain itu, resit perhutanan (RM65 juta), premium tanah (RM59 juta), pemberian dan pembayaran balik persekutuan (RM25 juta) dan sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air dan sewa tanah sebanyak RM137 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata sehingga April tahun ini, RM3.68 bilion atau 27 peratus daripada perbelanjaan biasa yang diluluskan dibelanjakan, dengan
RM1.44 bilion atau 13 peratus dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan.
“Perbelanjaan ini dijangka meningkat dalam pertengahan tahun ini, bertepatan dengan kemajuan program dan pelaksanaan projek.
“Memandangkan tahun ini menandakan berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), adalah mustahak untuk semua pegawai kawal selia dan ketua jabatan untuk terus komited ke arah kejayaan penyampaian program dan projek yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Mereka juga mesti proaktif dalam menyelesaikan sebarang masalah berkaitan pelaksanaan projek,” katanya.

