SARIKEI: Pelaksanaan projek pembangunan bernilai kira-kira RM4.9 bilion menerusi pelbagai sumber pembiayaan dijangka terus mengubah wajah Bahagian Sarikei, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pertumbuhan baharu di wilayah tengah Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata projek berkenaan dilaksanakan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Tabung Alternatif dan Projek Rakyat.
Katanya, pembinaan Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang memberi impak besar terhadap kesalinghubungan apabila tempoh perjalanan dari Kuala Rajang, Pulau Bruit, Daro dan Matu ke Sarikei kini dipendekkan daripada dua hingga tiga jam kepada sekitar 30 hingga 45 minit.
“Selain itu, Sarikei bakal menerima tiga projek infrastruktur berskala besar, termasuk pembinaan jambatan sepanjang 1.2 kilometer merentasi Batang Rajang dari Parit Bugis-Muara Payang dan Bukit Huang ke Tanah Putih.
“Projek lain membabitkan pelebaran laluan empat lorong dari Jambatan Nyelong Sarikei ke Jambatan Merah Bintangor serta pembinaan jalan berkembar R5 dari Lebuhraya Pan Borneo ke Simpang Tiga Jalan Pasi Sarikei-Bintangor,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Siri Keenam di sini, hari ini.
Len Talif berkata, potensi Sarikei dalam sektor pertanian, ekopelancongan dan ekonomi berasaskan alam sekitar perlu terus dimanfaatkan, khususnya sebagai antara kawasan utama pengeluaran buah-buahan di Sarawak.
Katanya, Sarikei turut mempunyai aset biodiversiti seperti Hutan Simpan Semula Jadi Sebangkoi dan Taman Negara Bakau Rajang yang berpotensi menyokong pembangunan ekopelancongan serta ekonomi hijau.
“Pada masa sama, pembangunan karbon biru di Kuala Rajang yang membabitkan kawasan hutan bakau berpotensi mewujudkan sumber ekonomi baharu berasaskan alam semula jadi, di samping memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan pesat berkenaan perlu disusuli penyediaan kemudahan awam yang lebih komprehensif bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Antara kemudahan yang wajar diberi perhatian ialah pembinaan kompleks sukan tertutup berkapasiti lebih besar, pusat pendidikan tinggi berteraskan teknikal dan vokasional serta pusat rawatan dialisis.
Beliau berkata, kompleks sukan berkenaan tidak perlu sebesar stadium tertutup di Sibu, namun kapasiti perlu melebihi Stadium Tertutup Betong yang kini tidak lagi mampu menampung kehadiran sehingga kira-kira 3,000 orang.
“Pada masa sama, Sarikei atau Tanjung Manis sesuai dipertimbangkan sebagai lokasi kampus cawangan institusi pengajian tinggi atau pusat latihan teknikal baharu bagi menyediakan akses pendidikan dan kemahiran kepada golongan muda.
“Pusat dialisis juga amat diperlukan kerana kemudahan itu bukan sahaja dapat memberi perkhidmatan kepada penduduk Sarikei, malah masyarakat dari Kuala Rajang, Pulau Bruit, Daro dan Matu yang masih perlu ke Sibu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.



