SERIAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM465,000 untuk 33 peserta dari 10 buah kampung sekitar Dun Tarat bagi Program Pemudahcaraan Pertanian (AFP) yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn, peruntukan khas ini adalah untuk membantu para penternak membangunkan projek masing-masing
“Ini bertujuan menambah pendapatan penternak. Pelaksanaan projek ini akan dilakukan oleh DVS dari Bahagian Serian.
Mereka akan mengagihkan semua perkara berkaitan kepada peserta dan memantau segala kerja pembangunan infrastruktur dan sebagainya.
“Kesemua keperluan akan diserahakan kepada peserta, termasuk palung minuman untuk projek ternakan ayam (13 peserta), twitter sejenis alat bunyi untuk projek Burung Walit (17 peserta) dan ubat cacing untuk projek ternakan khinzir (tiga peserta),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Keperluan Projek Ternakan BagI Dun Tarat di Dewan Kampung Chupak di sini semalam.
Beliau yang juga Adun Tarat berharap agar semua peserta dapat bekerjsama dengan pihak DVS bagi mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan.
“DVS Sarawak akan mengadakan taklimat mengenai projek kepada semua peserta dalam masa terdekat untuk memastikan mereka memahami pelaksanaan dan pengurusan projek ternakan,” ujarnya
“Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport utama agro makanan menjelang 2030.
Sarawak telah berjaya mengeskport khinzir hidup serta daging khinzir (daging sejuk beku) ke Singapura yang bernilai RM60 juta setahun dan masih berpotensi untuk ditingkatkan,” tegasnya lagi.
Tambahnya Sarawak mempunyai kelebihan kerana bebas daripada penyakit ternakan yang berkepentingan kepada ekonomi seperti penyakit kuku dan mulut, penyakit African Sine Fever dan Highly Pathogenic Avian Influnza.
Ini membolehkan Sarawak mengeksport hasil ternakan keluar negeri tanpa sekatan.
“Kepada semua peserta majukan projek ternakan masing-masing dan tingkatkan pengeluaran kerana ia sentiasa mempunyai pasaran di Kuching, Serian serta negara jiran di Kalimantan, Indonesia,” nasihatnya.
Dalam majlis tersebut Roland bersama-sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud menyampaikan sijil kepada peserta.
Kesemua 33 peserta ini adalah dari Kampung Chupak, Sungai Riset, Maang, Skuduk, Baru Mawang, Sungai Barie, Subang, Plaman Payang, Tarat Melawi dan Igom.