JULAU: Sebanyak RM48,000 disalurkan kepada beberapa rumah panjang dan Biro Wanita bagi membantu memenuhi keperluan serta kegunaan komuniti setempat menerusi Program Bersama Komuniti di Rumah Tambi Ak Luat di Nanga Dasu.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien, berkata bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan keperluan masyarakat di seluruh kawasan Julau terus diberi perhatian.
Antara penerima bantuan ialah Rumah Tambi, Rumah Tulor, Rumah Siti Rosmawati, Rumah Bulu, Rumah Nyangtong, Biro Wanita Rumah Tambi dan Biro Wanita Rumah Tulor.
Menurut Larry, selain bantuan secara langsung kepada komuniti, beliau akan terus berusaha membawa masuk projek pembangunan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kira-kira RM4 juta peruntukan projek daripada Kerajaan Persekutuan dimanfaatkan setiap tahun untuk melaksanakan pelbagai projek yang diperlukan masyarakat di kawasan Parlimen Julau.
“Tujuan politik saya ialah untuk membawa pembangunan kepada rakyat. Oleh itu, saya juga akan sentiasa menggunakan mandat rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya.
Larry berkata, beliau akan terus turun padang dari satu kawasan ke kawasan lain untuk mengenal pasti keperluan rakyat dan mencari projek yang bersesuaian bagi membawa pembangunan kepada komuniti setempat.
Katanya, usaha membantu rakyat tidak seharusnya dipengaruhi perbezaan politik atau ideologi, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan dan manfaat yang dapat dirasai masyarakat.
“Politik patut dijadikan platform untuk membantu dalam pembangunan kawasan dan ianya harus memberi keuntungan kepada rakyat, bukan hanya berdasarkan ideologi politik yang berbeza,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira perubahan kedudukan politik.
“Perkara yang paling penting ialah saya akan terus bekerja untuk rakyat bagi menentukan pembangunan sampai ke Julau,” ujarnya.

