BETONG: Sebanyak 32 surat kelulusan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM5 juta bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban diserahkan dalam usaha memperkasakan infrastruktur sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Premier Sarawak hari ini, penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas melalui beberapa siri lawatan tapak dan program di seluruh kawasan berkenaan bersama Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu.

Lawatan tersebut turut menzahirkan komitmen berterusan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar yang bersifat inklusif serta strategik.
Semasa lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat mengenai cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Spaoh baharu bernilai RM35 juta yang dilaksanakan melalui kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Projek berkenaan kini berada di peringkat tender dan dijangka akan memulakan proses pembinaan dalam masa terdekat.
Selain itu, beliau turut meninjau kemajuan kerja menaik taraf pejabat BDDA di Spaoh yang dijadualkan siap menjelang September 2026 serta meneliti inisiatif pembangunan di Tanjung Sebekut.

Bagi pembangunan di Tanjung Sebekut, kelulusan diberikan untuk projek penyambungan bekalan air berjumlah RM3 juta dan bekalan elektrik sebanyak RM3.5 juta dengan nilai keseluruhan pelaburan mencecah RM6.5 juta bagi menampung pertambahan populasi penduduk di kawasan tersebut.
Mengulas mengenai strategi pembangunan yang lebih menyeluruh, Datuk Amar Douglas menekankan aspek penyepaduan sektor pertanian melalui Taman Pertanian Bebuling seluas 750 hektar yang disokong oleh infrastruktur berdekatan termasuk pelabuhan STOL serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC).
Inisiatif tersebut dijangka mampu merangsang pengeluaran produk berasaskan pertanian, mewujudkan peluang pekerjaan serta meluaskan akses pasaran melalui jaringan pengangkutan udara.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh mengenai pelancaran produk pelancongan Bukit Sadok baru-baru ini yang menampilkan pembinaan Replika Kubu Rentap yang bakal melonjakkan lagi potensi sektor pelancongan di Bahagian Betong.
“Usaha-usaha yang diselaraskan ini mencerminkan strategi jangka panjang kami untuk meningkatkan komuniti, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan pertumbuhan yang mampan,” katanya.


