KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi peruntukan berjumlah RM540 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan perumahan rakyat yang memberi manfaat langsung kepada komuniti luar bandar di seluruh negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, antara pencapaian utama yang berjaya dilaksanakan termasuk pembinaan 8,500 kilometer jalan ladang, tiga kilometer jalan luar bandar serta 8.83 kilometer projek perlindungan sungai dan pantai.
“Infrastruktur saliran dan pengairan turut dibangunkan melibatkan kawasan pertanian seluas 3,000 hektar dengan nilai keseluruhan projek RM450 juta, yang memberi manfaat langsung kepada kira-kira 30,000 petani serta komuniti luar bandar.
Inisiatif ini memperkukuh jaringan perhubungan, melindungi sumber pendapatan penduduk dan meningkatkan daya tahan terhadap cabaran alam sekitar.,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam penggulungan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kementeriannya bersama GIATMARA dan FELCRA Bina menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM438 juta bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
“Sehingga 2025, sebanyak 2,300 daripada 2,900 rumah di bawah program Bina Baharu telah siap, manakala 11,200 daripada 12,300 rumah di bawah program baik pulih turut disiapkan, dengan baki selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.,” ujarnya.
Di samping itu katanya, seramai 36 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak berjaya dibangunkan oleh Lembaga Lada Malaysia menerusi Program Pembangunan Keusahawanan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana pada tahun ini.
“Program tersebut berjaya menjana jualan sekitar RM34.5 juta melibatkan RM7.1 juta daripada pasaran domestik dan RM27.4 juta daripada eksport,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata penekanan berterusan terhadap kelestarian, inovasi teknologi, pemprosesan nilai tambah dan pengembangan eksport akan terus memperkukuh sektor pertanian negeri.
“Sektor ini berada pada landasan yang baik untuk memperkukuh sekuriti makanan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Sarawak. Trend pertumbuhan yang positif menunjukkan sektor pertanian akan terus penting dalam memacu kemakmuran dan daya tahan Sarawak pada masa hadapan,” jelasnya.

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS
KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil
