ARTIKEL

BERUCAP... Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan dan Hal Ehwal Sabah, Sarawak) Datuk Ts Mustapha Sakmud. FOTO GHAZALI BUJANG

RM62 Juta Dana BAP 2026 Untuk Pelajar Seluruh Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sejumlah RM62 juta diperuntukkan kepada 413,380 murid melibatkan 1,460 buah sekolah di seluruh Sarawak bagi tujuan agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan dan Hal Ehwal Sabah, Sarawak) Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, BAP akan diagihkan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan kasar isi rumah dengan setiap individu menerima RM150 secara sekali bayar.

“Bantuan ini mampu menjadi pemangkin bagi memastikan setiap murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk memulakan sesi persekolahan, sekali gus menjadi dorongan untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

“Ini merupakan bukti usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menyantuni keperluan rakyat di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan BAP Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di SMK Petra Jaya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agar manfaat BAP 2026 tersebut dapat meningkatkan motivasi murid untuk membina kecemerlangan bagi menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2026 telah meluluskan peruntukan berjumlah RM794 juta kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan pengagihan BAP kepada semua murid Tahun 1 hingga Tingkatan 6 atau setaraf bagi sesi persekolahan 2026.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM730 juta telah disalurkan kepada pihak sekolah untuk diagihkan kepada semua murid bermula 8 Januari 2026.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan menawarkan sumbangan Inisiatif Sejahtera MADANI berjumlah RM370,000 yang diagihkan kepada 740 isi rumah bagi fasa pertama.

“Manfaat ini diterima oleh 370 isi rumah (IR) di peringkat sekolah rendah dan 370 IR di peringkat sekolah menengah yang berdaftar dengan status miskin dalam sistem eKasih di Sarawak.

“Sumbangan diberikan dalam bentuk baucar bernilai RM500 untuk pelajar sekolah rendah, manakala bagi sekolah menengah, ia masih dalam peringkat perbincangan dan dicadangkan dalam bentuk tabungan.

“Saluran dalam bentuk tabungan bagi murid sekolah menengah ini sedang diperincikan agar dapat dilaksanakan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Usaha ini bertujuan mempersiapkan murid untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau institusi pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya lagi, kesejahteraan rakyat akan lebih terjamin selaras dengan teras Ihsan dalam gagasan Malaysia MADANI menerusi pelaksanaan bantuan sedemikian.

“Semua inisiatif yang sedang dilaksanakan ini jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memperkasa pembangunan pendidikan anak-anak Malaysia, khususnya di Sarawak secara inklusif,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman serta Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU