RM8.48 juta kos untuk 42,424 calitan di Sibu

SIBU: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM8.48 juta untuk menghantar sejumlah 42,424 sampel calitan Covid-19 ke makmal swasta di negeri ini dan Kuala Lumpur supaya memperoleh keputusan lebih cepat.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS)

Dr. Annuar Rapaee

berkata, Kerajaan Sarawak komited dan berbelanja besar menguruskan situasi pandemik Covid-19 khususnya di Sibu.

Tegasnya, tuduhan bahawa Kerajaan Sarawak tidak melakukan banyak perkara untuk memerangi pandemik itu di Sibu merupakan pembohongan besar.

“Malah sebanyak 51,640 ujian calitan atau rata-rata 1,435 ujian calitan sehari dilakukan di Sibu sejak 10 Januari hingga Isnin lalu, selepas kemunculan Kluster Pasai.

“Bagi mereka yang mendakwa kami melakukan 500 ujian calitan setiap hari, itu tidak benar.

 

“Tolong dapatkan fakta anda dengan betul kerana petugas barisan hadapan bekerja dengan ikhlas.

“Sudah tentu tidak ada calitan yang dilakukan pada 12 Februari kerana Tahun Baharu Cina.

Ada masa kami melakukan lebih banyak ujian dan beberapa hari melakukan lebih sedikit ujian.

“Calitan tertinggi yang kami lakukan setiap hari sebanyak 2,700 ujian.

“Semalam, kami melakukan 2,347 ujian melalui pengesanan kes secara aktif (ACD) yang dilakukan di luar Hospital Sibu,” kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kesihatan awam di negeri ini.

Beliau menjelaskan bahawa 51,640 ujian calitan untuk 360,000 populasi di Sibu sama dengan 143 ujian setiap 1,000 populasi di sini.

Tempat lain kata Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu melakukan ujian lebih sedikit daripada yang dilakukan di Sibu.

“Kami melakukan dengan baik dengan 143 ujian calitan setiap 1,000 populasi setiap hari.

“Oleh itu, jangan hanya mengambil angka kasar kerana anda harus mengiranya dengan jumlah 100,000 atau 1,000,000 populasi untuk membandingkan apa yang kami lakukan di sini dengan seluruh dunia.

“Hanya dengan itu anda akan mengetahui berapa banyak yang dilakukan di Sibu, berapa banyak yang telah diusahakan oleh kerajaan,” tegas Adun Nangka itu lagi.

Dr Annuar menegaskan, JPBBS juga menubuhkan sejumlah 1,060 penempatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Sibu ketika kadar pesakit di wad Hospital Sibu mencapai tahap yang membimbangkan pada 86 peratus ketika Kluster Pasai melanda.

Tempat di PKRC kini dihuni sekitar 50 hingga 60 peratus, katanya.

“Sekiranya seseorang mendakwa kami tidak melakukan banyak perkara, saya sama sekali tidak setuju.

“Kerajaan Sarawak menghabiskan banyak wang hanya untuk menghantar sampel ujian calitan.

“Itu tidak termasuk untuk kos makanan dan kuarantin di hotel.

Kerajaan Sarawak sudah melaksanakan pelbagai bantuan dan terus menerus membantu rakyat,” katanya.