BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyalurkan sumbangan sebanyak RM8,000 bagi menyokong usaha memperkukuh aktiviti kesihatan komuniti di daerah ini.
Daripada jumlah itu, RM5,000 disalurkan kepada Klinik Kesihatan Bintangor, manakala RM3,000 diberikan kepada Ahli Panel Pelawat Klinik Kesihatan Bintangor ketika merasmikan Program Saringan Kesihatan Komuniti sempena Hari Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, selain menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.
“Pendekatan pencegahan perlu dijadikan budaya kerana banyak penyakit mampu dikenal pasti pada peringkat awal sebelum menjadi lebih serius.
“Saringan kesihatan merupakan langkah terbaik untuk mengurangkan risiko komplikasi serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Beliau berkata rakyat yang menikmati tahap kesihatan yang baik bukan sahaja mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti, malah dapat meningkatkan produktiviti, mengukuhkan institusi kekeluargaan dan menyumbang kepada pembangunan negeri secara menyeluruh.
Majlis berkenaan turut dihadiri Datin Kueh Nai Fun; Pakar Perubatan Keluarga merangkap Pengerusi Program, Dr. Dayang Haniffa; Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, Ley Chee Hua; barisan Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bintangor, kakitangan klinik serta penduduk setempat.
Sepanjang program, orang ramai berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti termasuk saringan pemeriksaan kesihatan, ceramah pendidikan kesihatan, pemeriksaan dan cabutan gigi, ujian keseimbangan badan, senaman ringan serta cabutan bertuah.




