RM8,000 menunggu pemenang Raja Sungai Rimbas

HADIAH bagi gelaran Raja Sungai Rimbas bersempena acara sukan air regata lumba perahu pada Pesta Pusa 2019 yang akan berlangsung dari 19 sehingga 21 Julai depan dimuktamadkan berjumlah RM8,000.

Secara keseluruhan, hampir RM40,000 hadiah wang tunai menjadi rebutan peminat dan penggiat lumba perahu dari seluruh Sarawak.

Menurut Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, pesta yang dianjurkan dua tahun sekali itu ditunggu-tunggu oleh warga di sini khususnya dijangka berlangsung dengan meriah.

Katanya, pihaknya selaku pengelola utama sudah membuka urusan pendaftaran lumba perahu dan tarikh tutupnya pada 12 Julai.

“Justeru, mereka yang berhasrat untuk mengocak Sungai Rimbas disamping merebut hadiah RM8,000 (gelaran Raja Sungai) dialu-alukan untuk membuat pendaftaran awal.

Bujang Budin

“Insya-Allah, Pesta Pusa edisi kali ini menjanjikan lebih kemeriahan,” katanya bercakap selepas Mesyuarat Siri Dua Pesta Pusa 2019 di Pejabat Daerah Pusa, semalam.

Bujang yang juga penasihat pesta mengakui, sukan lumba perahu merupakan ejen menyatukan pelbagai pihak yang cukup berkesan kerana ia memerlukan semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi antara pekayuh.

Menjelas lanjut, kayuhan dibahagikan kepada kategori Sakai 10 pekayuh, 15, 20, 25 dan Sakai 30 dengan jarak perlumbaan 1.85 kilometer.

Sebarang urusan atau pertanyaan tentang perlumbaan boleh menghubungi Ja’afar Yussup (016-9524274), Berahim Abang Bakar (019-5322971) atau Mat Saini @ Jamir (013-8137197).

Dalam pada itu juga, sepanjang pesta turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan lain.

Antaranya sukaneka, sukan rakyat, senamrobik, pentas hiburan serta pelbagai lagi. Selain itu, dijangka 100 peniaga membanjiri Pekan Pusa bagi aktiviti gerai jualan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Daerah Pusa di talian 083-465130.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi dan Timbalan Ketua PBB Cawangan Beting Maro Awang Sarbini Gapor.