SERIAN: Komuniti di kawasan Parlimen Serian menerima peruntukan berjumlah RM849,400 melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi pembangunan infrastruktur gereja serta pelaksanaan program komuniti.
Menerusi peruntukan itu, seramai 26 penerima terdiri daripada persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Gereja di kawasan Parlimen Serian menerima cek MRP, manakala empat geran disalurkan melalui UNIFOR.
Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, pemberian geran ini adalah hasil pemohonannya dan diserahkan dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat Dewan Leort Cottage Pichin, Serian, hari ini.

“Antara penerima terbesar ialah Gereja Katolik St. Petrus, Kampung Pridan Serian yang menerima RM250,000 daripada UNIFOR untuk pembinaan semula gereja.
“Tiga lagi penerima geran UNIFOR ialah Gereja Katolik St. William, Kampung Bugu Ngiyang (RM137,000), Gereja Semukoi Seventh Day Adventist (RM120,000) dan Gereja St. Patrick, Kampung Krangan Trusan Serian (RM28,900),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, Richard berharap peruntukan yang disalurkan sedikit sebanyak dapat membantu penduduk, khususnya di kawasan Parlimen Serian.
Beliau juga menekankan agar penerima menyediakan laporan penggunaan bantuan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Serian bagi tujuan rekod.
Dalam masa yang sama, beliau menyatakan untuk tempoh Januari hingga Disember tahun ini, jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan melalui Cek MRP Siri 1 hingga 5 adalah sebanyak RM2,877,950.



