KUCHING: Jumlah kerugian akibat jenayah komersil di Sarawak kini mencecah hampir RM89.9 juta dengan 2,622 kes direkodkan sehingga Ogos 2025, meningkat 57.67 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, penipuan e-dagang, pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud dan phone scam menjadi ancaman utama yang menjejaskan masyarakat dan peniaga di seluruh negeri.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak mencatat beberapa kejayaan besar dalam membanteras sindiket berskala besar. Antaranya, penumpasan tiga sindiket calling centre di Miri dan Sibu melibatkan 18 tangkapan serta pertuduhan di bawah Seksyen 424A dan 120B Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Padang Kawad IPK Sarawak, sekali gus merupakan perhimpunan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 29 September ini.
Tambah Mancha, sindiket jual beli emas palsu dan penipuan QR Code di Padawan turut berjaya diungkap pihak polis dan sepanjang tahun ini, seramai 1,091 pesalah jenayah komersil ditangkap di seluruh negeri.
Beliau turut memuji keberanian, ketekunan dan profesionalisme anggota polis dalam menghadapi jenayah yang semakin canggih dan berteknologi tinggi.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan pasukan bukan sahaja membuktikan kecekapan mereka, malah turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap integriti dan profesionalisme Polis Kontinjen Sarawak.
Mancha turut menyeru anggota agar terus memperkukuh pengawasan, pencegahan, dan menggunakan teknologi moden dalam membanteras jenayah komersil.
Beliau menekankan kepentingan kerjasama pihak agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi membanteras jenayah siber serta penipuan komersil secara menyeluruh.
Masyarakat juga digalakkan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan supaya tindakan pantas boleh diambil.

