ARTIKEL

RM950,000 Naik Taraf Infrastruktur SMK Julau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: SMK Julau menerima peruntukan berjumlah RM950,000 bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan, sekali gus memperkukuh usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.

ADUN Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, peruntukan tersebut melibatkan pembinaan dewan serba guna baharu, kerja-kerja menaik taraf dewan makan serta pembinaan pintu gerbang sekolah.

Katanya, projek terbesar yang dilaksanakan ialah pembinaan dewan serba guna menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos RM500,000.

“Kemudahan baharu kini menjadi pusat pelbagai aktiviti sekolah termasuk program akademik, kokurikulum dan acara yang melibatkan komuniti setempat.

“Pembinaan dewan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada warga sekolah, malah menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk pelaksanaan pelbagai program pada masa hadapan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan menyantuni kumpulan perintis pelajar tingkatan enam di SMK Julau, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rolland memaklumkan dewan makan sekolah turut dinaik taraf menerusi peruntukan sebanyak RM350,000.

Jelas beliau, projek itu bertujuan meningkatkan keselesaan pelajar selain memastikan kemudahan sedia ada mampu menampung pertambahan jumlah pelajar pada masa akan datang.

Menurutnya, keperluan menaik taraf dewan makan menjadi lebih penting berikutan penubuhan tingkatan enam di sekolah berkenaan yang dijangka menyaksikan peningkatan enrolmen pelajar.

Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan pintu gerbang baharu sebagai usaha memperkukuh identiti sekolah dan menyerlahkan imej institusi pendidikan tersebut.

Pada masa sama, tiga bilik darjah yang digunakan oleh pelajar tingkatan enam akan dilengkapi sistem penyaman udara bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa.

Tambahnya, kemudahan itu diharap dapat membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran, sekali gus meningkatkan prestasi akademik serta kecemerlangan mereka pada masa depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU