KUCHING: Sebanyak 20,000 unit rumah mampu milik dirancang untuk dibangunkan di Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bermula tahun hadapan.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, di bawah RMK-12 sejak 2021 sehingga tahun ini, hanya 3,500 unit rumah mampu milik dirancang.
“Dalam RMK-13 sebanyak 20,000 unit rumah mampu milik sedang dirancang,” katanya semasa Majlis Penyerahan Surat Lantikan dan Penghargaan Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) bagi sesi 2025–2027 di sini, semalam.
Jelasnya, ia satu usaha besar dalam membangunkan Sarawak serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, sekali gus mencapai Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Pada majlis tersebut menyaksikan ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi dilantik semula sebagai Pengerusi HDC.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Datuk Elizabeth Loh dilantik sebagai Timbalan Pengerusi HDC.
Ahli Lembaga HDC terdiri daripada ADUN Meluan Datuk Rolland Duat Jubin, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, ADUN Meradong Ding Kuong Hiing dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
Antara lain Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) Datuk Abdullah Julaihi dan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood.



