KUCHING: Pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Sarawak menandakan episod baharu dalam perjalanan negeri ini ke arah menjadi wilayah yang lebih progresif, berdaya tahan dan mampan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata perkara tersebut juga membuktikan komitmen Sarawak terhadap pemeliharaan alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi yang bukan sahaja kukuh dan inklusif, tetapi juga mampan dan bertanggungjawab.
“Selain itu, hasil pendapatan negeri Sarawak pada tahun 2024 yang mencatatkan lebih RM14 bilion — peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2021 yang berjumlah lebih RM7 bilion — menjadi pencapaian yang amat membanggakan di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier dan Kerajaan Sarawak kerana sentiasa memberi fokus terhadap usaha membangunkan kawasan luar bandar, termasuk di Parlimen Kapit,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit memaklumkan bahawa menerusi RMK13 bagi Sarawak, kerajaan akan membina stesen bas baharu dan memasang lampu isyarat pintar di kawasan Kapit.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuh infrastruktur asas dan meningkatkan keselamatan serta kemudahan rakyat di kawasan pedalaman.
“Selain itu, RMK13 turut memberi tumpuan kepada mempercepat pelaksanaan, memperdalam transformasi dan memperkasa penyertaan sektor swasta,” ujarnya.

Beliau menambah, matlamat kerajaan jelas — memastikan setiap inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 membawa hasil nyata kepada rakyat, termasuk meningkatkan taraf hidup, menyediakan pekerjaan berkualiti dan membuka peluang kepada semua.
Oleh itu, jelasnya, Sarawak akan terus memanfaatkan kelebihan sumber semula jadi, teknologi terkini serta tenaga kerja mahir bagi membangunkan industri hiliran bernilai tinggi, memperluas pelaburan hijau dan memastikan tiada rakyat yang tertinggal dalam perjalanan menuju kemakmuran bersama.
“Melalui pelaksanaan strategik ini, kita menyasarkan untuk menggandakan saiz ekonomi Sarawak daripada RM148.2 bilion pada 2024 kepada RM282 bilion menjelang 2030, dengan pendapatan isi rumah median bulanan meningkat kepada RM15,000.
“Rancangan ini juga berpaksikan tujuh teras strategik PCDS 2030 yang menjadi panduan dalam pelaburan bersasar, pendigitalan ekonomi, pembangunan sosial dan kelestarian alam sekitar — termasuk matlamat jangka panjang untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat Sarawak boleh berbangga dengan pencapaian negeri yang dicapai hasil perancangan jangka panjang, pelaksanaan berdisiplin dan tadbir urus yang mantap.
“Perjalanan transformasi ini tidak pernah berhenti — setiap rancangan dibina di atas asas sebelumnya, dan setiap generasi membawa legasi itu ke hadapan.
“RMK13 bagi Sarawak menjadi jambatan antara hari ini dan tahun 2030, menyatukan aspirasi ekonomi, keutamaan sosial dan komitmen alam sekitar dalam satu visi bersama — Sarawak yang berdaya saing, penyayang dan lestari,” katanya lagi.




