KUCHING: Seorang bapa durjana dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana merogol dan serangan seksual terhadap anak perempuan kandungnya berusia 14 tahun, pada 12 Ogos lalu.
Tertuduh berusia 35 tahun dan bekerja sebagai buruh itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana melakukan sumbang mahram dengan mangsa.
Manakala, pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (SOACA) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) SOACA 2017, kerana melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya.
Dia melakukan perbuatan terkutuk itu di ruang tamu rumah mereka di sebuah kampung di Serian, sekitar jam 11.00 malam, pada 12 Ogos lalu.
Musli menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan masing-masing untuk kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan, dan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) SOACA 2017 bagi kedua-dua pertuduhan pindaan.
Manakala, tambahan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(1) SOACA 2017 masing-masing untuk kedua-dua pertuduhan pindaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa hari ini.
Ini menjadikan kesemua hukuman tertuduh 20 tahun dan 16 sebatan.
Menurut fakta kes, hasil siasatan mendedahkan tertuduh merupakan bapa kandung mangsa dan mereka tinggal serumah.
Semasa kejadian, tertuduh melucutkan seluar dalam mangsa lalu merogol mangsa ketika sedang tidur sehingga mangsa mengalami kesakitan pada alat sulitnya.
Mangsa meminta tertuduh berhenti tetapi tidak memperdulikan rayuan anaknya dan meneruskan aksi tidak senonoh.
Selepas kejadian terbabit, mangsa menghubungi ibu kandungnya mengenai perbuatan terkutuk bapanya, sebelum membuat laporan polis.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan laporan perubatannya mengesahkan terdapat koyakan pada selaput dara mangsa.
Siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Munirah Pardanah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

