KUCHING: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun tahun lalu.
Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh berusia 28 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Jun lalu.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Selain itu, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017.
Tertuduh juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan mengikut Seksyen 27 akta yang sama.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dan tertuduh telah mengenali antara satu sama lain sejak Julai 2025 ketika remaja itu bekerja di sebuah kedai kopi di sini.
Pada pertengahan Julai tahun sama, tertuduh memujuk mangsa untuk menemaninya ke sebuah hotel bajet sebelum mereka melakukan hubungan seksual. Perbuatan itu didakwa berulang kali sehingga November tahun tersebut.
Selepas November 2025, mangsa memutuskan hubungan dengan tertuduh dan menukar nombor telefonnya. Mangsa kemudiannya menjalani ujian kehamilan pada Januari tahun ini yang mengesahkan dirinya mengandung.
Bagaimanapun, kes itu hanya terbongkar apabila mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada 8 Jun lalu selepas mengalami ketidakselesaan pada bahagian perut.
Pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa hamil lima bulan sebelum doktor menasihatkannya membuat laporan polis memandangkan dia masih berusia bawah 16 tahun ketika kejadian berlaku.
Susulan laporan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menjalankan siasatan dan menahan tertuduh pada 15 Jun lalu.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menyara kedua-dua ibu bapanya yang telah lanjut usia serta enam adik-beradiknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan menegaskan undang-undang rogol statutori berasaskan prinsip kanak-kanak perempuan berusia bawah 16 tahun tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memberikan persetujuan terhadap aktiviti seksual.
“Rasionalnya ialah kanak-kanak perempuan pada usia ini masih belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi serta mudah dipengaruhi, dipujuk atau dieksploitasi,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian mahkamah kepada data Kementerian Kesihatan yang menunjukkan sebanyak 21,114 kehamilan dalam kalangan remaja belum berkahwin berusia 19 tahun ke bawah direkodkan antara 2019 hingga 2024.
Bagi kesalahan itu, mana-mana tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.



