KUCHING: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merogol bekas teman wanitanya yang kini berusia 16 tahun hingga menyebabkan mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki.
Tertuduh berusia, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Daerah Bau, antara bulan Oktober 2021 sehingga Februari 2022.
Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Musli memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini, selain menjalani pemulihan kaunseling semasa dalam tahanan seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 6 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, dia yang berasal dari Kampung Bijongon itu diperintahkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas menjalani hukuman penjara tertakluk kepada Seksyen 27 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut fakta kes, pada 9 Jun 2022 sekitar jam 9 pagi, pengadu merupakan seorang doktor membuat laporan polis selepas melakukan pemeriksaan terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun telah mengandung lima bulan.
Difahamkan, nenek mangsa membawanya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan kerana mangsa mengalami masalah datang bulan yang tidak normal.
Pada 17 Jun 2022, sekitar jam 4.30 petang, tertuduh berjaya ditangkap oleh pihak polis di kediamannya di Kampung Bijongon.
Hasil siasatan, mendapati tertuduh adalah bekas teman lelaki mangsa dan telah melakukan hubungan seks bersama mangsa dalam sebuah pondok di kampung tertuduh.
Selepas kejadian, mangsa telah berpisah dengan tertuduh dan menyekat nombor telefon tertuduh daripada terus menghubunginya.
Selain itu, selepas bayi lelaki dilahirkan mangsa pada 26 September 2022 di sebuah hospital, analisis Deoxyribonucleic Acid (DNA) mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi tersebut.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




