KUCHING: Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tidak seharusnya dilihat sebagai perubahan kosmetik atau cara memberi ganjaran kepada sekutu politik, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.
Beliau berkata, perkembangan itu mesti memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan, meningkatkan penyelarasan dalam kabinet serta mempercepat penyampaian dasar merentasi kementerian utama.
Katanya, rombakan kabinet bukanlah matlamat akhir kerana ukuran sebenar tidak terletak pada penyusunan semula portfolio, sebaliknya kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan agenda reformasi yang dijanjikan kepada rakyat.
“Sebagai wakil rakyat, saya menggesa semua ahli kabinet baharu untuk terus fokus kepada keberhasilan dengan meringankan beban kos sara hidup, memperkukuh ekonomi serta menjulang integriti dan tadbir urus yang baik.
“Hanya melalui penyampaian yang konsisten dan reformasi yang bermakna, keyakinan orang awam terhadap kerajaan dapat diperkukuh dan dikekalkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut, rakyat Malaysia ketika ini terus berhadapan dengan cabaran mendesak dan memerlukan tindakan segera. Ini termasuk kenaikan kos sara hidup yang terus memberi tekanan besar kepada isi rumah.
“Isu seperti harga makanan, utiliti, kos pengangkutan dan kesan penyelarasan subsidi mesti ditangani melalui dasar bersasar dan disampaikan dengan jelas untuk melindungi golongan paling rentan di samping memastikan kelestarian ekonomi.
“Terdapat juga keperluan mendesak untuk memperkukuh keyakinan ekonomi dan jaminan pekerjaan. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga serta pekerja memerlukan hala tuju dasar yang lebih jelas, pengurangan kerenah birokrasi serta sokongan konsisten untuk mengekalkan pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan berkualiti termasuk menarik pelaburan jangka panjang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, jangkaan orang awam dengan standard tadbir urus dan integriti yang lebih tinggi kini menjadi aspek yang amat penting.
Katanya, ia merangkumi tindakan tegas dan konsisten berkaitan isu rasuah, ketelusan yang lebih meluas dalam perolehan awam, kejelasan serta ketekalan dalam membuat keputusan dasar, selain akauntabiliti yang nyata dalam setiap kementerian.


