SARIKEI : Pihak polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai runcit di Jalan Meruton, Merudu pada Khamis untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt. Aswandy Anis berkata kerjasama awam sangat penting dalam kes tersebut.
“Kami mohon jika ada yang melihat sesuatu atau mempunyai maklumat berkaitan, segera hubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Muhamad Helmi di talian 013-3787194,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam insiden sekitar 4.13 pagi, lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang melakukan rompakan di sebuah kedai runcit sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM3,500.
Mangsa, seorang juruwang kedai, ditakutkan dengan parang di leher sebelum dipaksa bersembunyi di bawah meja, manakala para suspek menggeledah premis tersebut.
Suspek melarikan diri menggunakan kenderaan jenis Honda, namun nombor pendaftarannya tidak dapat dilihat dengan jelas kerana keadaan yang gelap.
Pihak polis mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

