KESEDARAN masyarakat semakin meningkat terhadap gejala sosial yang melibatkan pelajar sekolah dan remaja.
Kini, banyak perbincangan berlegar dan tertumpu kepada keperluan merotan sebagai kaedah mendidik.
Mengapa fokus diberikan kepada merotan dan bukan kepada elemen-elemen lain dalam ekosistem pendidikan kanak-kanak?
Seolah-olah hanya wujud dua pilihan, iaitu merotan atau tidak merotan.
Menurut penulis, terdapat dua sebab utama.
Pertama, kecenderungan manusia secara semula jadi untuk memberikan perhatian yang lebih terhadap maklumat negatif, ancaman atau bahaya.
Dalam konteks media, kisah negatif lebih mudah ditonjolkan berbanding kisah positif.
Sebagai contoh, apabila topik merotan dibincangkan di media sosial, terdapat pihak yang menyatakan, “Saya dahulu pernah kena rotan, tetapi masih menjadi manusia.”
arang dilihat komen balas seperti, “Saya dahulu tidak pernah kena rotan dan masih menjadi manusia.”
Hal ini demikian kerana “tidak pernah kena rotan” merupakan sesuatu yang positif dan sememangnya perkara yang sepatutnya berlaku.
Oleh itu, naratif “Saya dahulu pernah kena rotan, tetapi masih menjadi manusia” dilihat lebih sensasi dan kerap diceritakan berbanding “Saya dahulu tidak pernah kena rotan dan masih menjadi manusia”.
Akhirnya, persepsi terhadap amalan merotan menjadi lebih menonjol berbanding pendekatan tidak merotan.
Kedua, isu ini berkait dengan sikap defensif dalam kalangan orang dewasa, iaitu sikap enggan atau sukar mengakui kesalahan diri sendiri.
Sebagai contoh, Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad fil Islam (Pendidikan Kanak-Kanak dalam Islam) meletakkan contoh teladan sebagai elemen pertama dalam mendidik anak-anak.
Sememangnya ibu bapa merupakan komponen utama kerana mereka sepatutnya menjadi contoh teladan utama kepada anak-anak.
Sekiranya seorang kanakkanak bertingkah laku biadab, kita hendaklah menyiasat dari mana mereka mempelajari perbuatan tersebut.
Amat malang sekiranya hukuman rotan dikenakan terhadap kanak-kanak itu atas tingkah lakunya di sekolah, sedangkan tingkah laku tersebut merupakan hasil contoh teladan dari rumah.
Keadaan ini boleh mengelirukan kanak-kanak dan berpotensi mendorong mereka menjadi lebih memberontak.
Namun demikian, sudah tentu amat pahit bagi ibu bapa untuk mengakui kegagalan mereka menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak.
Oleh itu, jarang orang dewasa bersedia untuk berbincang secara terbuka bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Langkah yang paling mudah ialah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada guru di sekolah dengan mengembalikan hukuman rotan.
Sehubungan itu, setiap kali perbincangan mengenai pendidikan dan pembentukan karakter kanak-kanak diadakan, semua elemen pendidikan hendaklah dibincangkan secara menyeluruh.
Janganlah hanya menumpukan perhatian kepada hukuman merotan seolah-olah itulah satu-satunya kaedah yang wujud (seolaholah jika tidak merotan, maka ia bukan satu bentuk pendidikan).
Kadangkala, ubat yang paling mujarab ialah ubat yang paling pahit untuk ditelan.



