MUKAH: Pengiktirafan menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) perlu dijadikan pembakar semangat warga pendidikan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, bukannya dianggap sebagai noktah kepada kecemerlangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, budaya kecemerlangan dalam perkhidmatan pendidikan perlu diteruskan secara berterusan menerusi komitmen, integriti, dan dedikasi setiap warga pendidik.

“Pendidikan merupakan nadi kepada kemajuan dan pembangunan, justeru kejayaan sektor berkenaan bergantung kepada usaha serta kerja berpasukan seluruh warga pendidikan.”
“Teruskan berkhidmat dengan cemerlang, berintegriti, dan penuh dedikasi demi melahirkan modal insan berkualiti serta memacu pendidikan Mukah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Prestasi 2025 dan Persaraan 2026 peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah di Kingwood Resort Mukah, di sini, semalam.

Menyentuh mengenai majlis tersebut, seramai 88 warga pendidikan menerima APC bagi prestasi 2025, manakala 35 pesara warga pendidikan turut diraikan sempena persaraan mereka pada tahun ini.
Royston turut menzahirkan penghargaan kepada 35 pesara atas segala jasa, komitmen, dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Jelasnya, sumbangan warga pendidikan bukan sahaja penting dalam melaksanakan tanggungjawab harian, malah turut memainkan peranan dalam membentuk modal insan berkualiti untuk masa depan.
Sehubungan itu, Royston berharap legasi kecemerlangan yang dibina oleh warga pendidikan terdahulu dapat diteruskan oleh generasi yang masih berkhidmat.
“Tahniah dan syabas kepada semua penerima APC atas pencapaian yang diraih serta mengucapkan selamat bersara kepada warga pendidikan yang menamatkan perkhidmatan,” tambahnya.




