KUCHING: Kursus Wasit Juri (WJ) Kebangsaan Zon Selatan 2026 melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas empat hari latihan intensif yang berlangsung dari 13 hingga 16 Jun di Sarawak Plaza, di sini.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Agung Rumpun Silat Sarawak (RSS), Abbas Hamzah, sekali gus menandakan kejayaan program yang bertujuan memperkukuh pembangunan tenaga pengadilan teknikal dalam organisasi.
Kursus tersebut menghimpunkan peserta yang mengikuti pensijilan Wasit Juri Tahap 1, 2 dan 3 dengan memberikan pengetahuan, kemahiran serta pengalaman praktikal bagi melahirkan pegawai yang kompeten dalam mengendalikan pertandingan dan acara silat pada masa hadapan.
Dengan lahirnya kumpulan baharu pegawai Wasit Juri ini, RSS dijangka dapat terus meningkatkan keupayaan teknikal dan memastikan kesinambungan pegawai bertauliah yang berkualiti. Pegawai Wasit Juri kanan akan terus membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada pegawai yang baharu diperakui bagi mempertingkatkan kompetensi, profesionalisme dan pemahaman terhadap peraturan teknikal.
Penghargaan khas turut diberikan kepada Fasilitator PESAKA, Shahrul Hisham Ngah Ramli atas sumbangan dan komitmen beliau dalam menjayakan program tersebut.
Penghargaan turut dirakamkan kepada semua peserta, jurulatih, penganjur dan anggota sokongan yang memastikan kursus berkenaan berjalan lancar.
Kejayaan penganjuran Kursus Wasit Juri Kebangsaan ini mencerminkan komitmen berterusan RSS dalam melahirkan pegawai teknikal yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdedikasi bagi menyokong pembangunan berterusan sukan silat di Malaysia.



