Ruai kami kini sepi

DALAM tempoh ini, kebiasaannya keadaan rumah panjang di Sarawak riuh rendah dengan suara riang kanak-kanak bermain di ruai rumah.
Rutin biasa dilihat setiap hari, ada penduduk menjalankan aktiviti harian ke kebun masing-masing untuk mengusahakan tanaman dan ternakan.
Bagi penduduk di Rumah Simu yang terletak di Baoh Dalat keadaan tersebut berubah sepenuhnya apabila Covid-19 dan banjir tiba serentak – musibah apakah ini?
Katanya, pandemik Covid-19 mula menjangkiti pasangan suami isteri yang hadir ke upacara pengebumian di Rumah Panjang Pasai Siong minggu lalu sebelum pulang ke rumah panjang di Rumah Panjang Simu itu.
Menurut Janang Gindau 48, beberapa hari sebelum calitan dijalankan di rumah tersebut, dia dan penduduk rumah panjang lain mengetahui ada penduduk pulang menziarahi kematian di Pasai Siong.

“Mereka mula demam, lalu kami tidak benarkan mereka keluar dari bilik.
“Kami membuat laporan ke Hospital Mukah dan Dalat. Kami melarang berlakunya sentuhan fizikal penghuni lain dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Beberapa hari selepas itu, mereka dikejutkan dengan Kluster Pasai.
“Selepas mendengar Kluster Pasai, dua tiga hari kami ketakutan.
“Namun selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang dengan Pakaian Pelindungan Diri (PPE), kami semua berasa lega dan diarah berkurung dalam bilik sebelum calitan dibuat dan tidak dibenarkan berkumpul.

“Sehingga Isnin lalu, 17 penduduk rumah kami disahkan positif Covid-19 termasuk tuai rumah dan penghulu.
Kini sedang dirawat di Hospital di Sibu dan Bintulu “Penduduk yang tinggal meningkatkan tahap kebersihan setiap pagi.
Masing-masing melakukan nyahkan kuman lantai dan pembersihan rumah,” jelasnya kini tinggal bersama-sama anak dan isterinya.
Baginya, aktiviti harian seperti ke kebun ternakan ayam dan khinzir yang diusahakannya bersama-sama penduduk lain terpaksa ditinggalkan sementara.
BANJIR PULA

Mereka berharap, hari kelam ini akan cepat berakhir tetapi lain pula musibah yang datang.
Ia seperti jatuh ditimpa tangga, Janang terpaksa mengambil alih tanggungjawab memantau keadaan di rumah panjang tersebut akibat banjir.
“Keadaan kini betul-betul menguji kami.
Selepas Covid-19, kini kami diuji dengan banjir.
“Biarpun tenggelam hingga ke atap, yang penting nyawa kami utamakan. Kalau Tuhan bagi hidup lama, lamalah kalau mati, matilah.

“Kebiasannya air naik hingga ke lantai rumah. Kami akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementera ke Sekolah Kebangsaan Baoh Ulu.
“Untuk tempoh ini, memang pemantauan dan pemeriksaan dilakukan polis dan bantuan makanan kering turut dihulurkan Jabatan Kebajikan kepada semua penduduk terlibat,” katanya lagi.
Tanggungjawab Janang kini juga bukan hanya memantau rumah panjang semata-mata kerana dia juga menjalankan tugas utama sebagai operator jana kuasa atau di Sk Boah Ulu.
“Kami di sini semua tidak mahu dijangkiti virus ini, kesannya mungkin semua operasi pembukaan sekolah ditutup sebab saya yang bertugas di Sk Boah Ulu.
“Malangnya, tiada siapa yang tahu menyelenggara jana kuasa ini tambahan ia menggunakan sistem pengkomputeran yang begitu rumit bukan seperti enjin yang lain.
“Yang pasti, apabila saya tiada mungkin sekolah tidak dapat dibuka kerana tiadanya bekalan elektrik di Sk Baoh Ulu nanti,” katanya yang turut berharap dijauhkan Covid-19.
SEPI DAN SUNYI

Bagi tempoh ini jelasnya suasana rumah panjang tersebut begitu sunyi dan lengang tidak seperti kebiasaannya kerana mereka tidak menerima kunjungan orang luar. Bagaimanapun dia berharap agar semua pihak terus mendoakan semua penduduk rumah panjang berkenaan dijauhkan daripada Covid-19 dan banjir akan pulih.
Sehingga tengah hari ini semalam, jelasnya banjir di rumah panjang tersebut surut.
“Demi kebaikan bersama, teruslah berjagajaga dan patuh kepada SOP.
Nasihat saya kepada semua khasnya warga Baoh patuhi arahan KKM amalkan 3W – cuci, pakai, amaran – dalam kehidupan seharian,”katanya lagi.
Untuk itu, semua pihak diharap meneruskan amalan demi keselamatan bersama dalam mengekang penularan Covid-19.

JANANG GINDAU

“Kami mahu rumah panjang kami sentiasa meriah.
Adanya kanak-kanak yang berlari-lari di tengah rumah, adanya kokokan ayam di bawah rumah dan kami minum petang bersama di beranda rumah.
“Tiada lain, itu yang kami harapkan. Jangan pula, pandemik ini meragut kegembiraan kami selama ini,” katanya.

Suara Sarawak