BAU: Sebuah kediaman di Kampung Apar, Jalan Kuong/Segong, di sini, dipecah masuk oleh individu tidak dikenali yang dipercayai menyasarkan kabel elektrik dalam kejadian yang disedari pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata pemilik rumah menyedari kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi selepas mendapati kediamannya telah diceroboh.
“Hasil pemeriksaan mendapati kabel elektrik di dalam rumah telah dipotong dan hilang.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki rumah melalui tingkap bilik tidur dengan membuka cermin serta memotong besi penghadang,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun kerugian dianggarkan sekitar RM100.
Katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada kesan cap jari ditemui setakat ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.



