ARTIKEL

HANGUS… Rumah yang didiami empat keluarga membabitkan 16 penghuni musnah dalam kebakaran di Kampung Niup, awal pagi tadi.

Rumah Didiami Empat Keluarga Hangus Dijilat Api Di Kampung Niup

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Sebuah rumah yang didiami empat keluarga membabitkan 16 penghuni musnah dalam kebakaran di Kampung Niup, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.19 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dengan bantuan BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba pada 4.46 pagi mendapati sebuah rumah satu tingkat jenis kekal berkeluasan 32 x 70 kaki persegi sedang dijilat api.

“Kebakaran memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan, manakala sebuah rumah berhampiran turut mengalami kerosakan kira-kira lima peratus pada bahagian bumbung akibat terkena bahang dan lidah api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rumah itu milik Serkawi Mat, 71, dan didiami empat keluarga yang keseluruhannya membabitkan 16 penghuni.

Katanya, anggota bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran salur bantu mula bersama dengan tiga nozel bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kediaman berhampiran.

“Selepas api berjaya dikawal pada 5.03 pagi, anggota meneruskan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran yang berpotensi mencetuskan api semula.

“Operasi turut dibantu dengan kaedah pengepaman berantai menggunakan pam angkut bagi menyalurkan bekalan air ke jentera bomba,” katanya.

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.20 pagi selepas pasukan bomba mengesahkan lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan 15 anggota bomba. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU