BINTANGOR: Dua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri ketika rumah separuh kekal yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Mador di sini, hari ini.
Insiden kira-kira jam 11.20 pagi itu mengakibatkan kediaman terbabit musnah 60 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 11.28 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, rumah itu terbakar di tingkat atas dan bawah. Anggota menggunakan dua aliran dari kolam terbuka pam angkut dan pam jentera untuk membuat pemadaman.
“Sementara satu aliran lagi digunakan untuk memadam di bahagian tingkat bawah dengan menggunakan tangga,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi yang mengambil masa lebih dua jam itu tamat sepenuhnya pada jam 2.47 petang.
“Setelah api padam sepenuhnya, pihak bomba bertolak balik ke balai. Kedua-dua mangsa iaitu seorang ibu dan anaknya terselamat,” katanya.





