KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan model perumahan mampu milik baharu di Daro bagi membolehkan penduduk memiliki kediaman pada harga kira-kira separuh daripada nilai pasaran menerusi subsidi kerajaan dan pembiayaan pinjaman berkadar faedah rendah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pantray, Daro itu melibatkan pembinaan 131 unit kediaman bagi Fasa 1 dengan peruntukan melebihi RM20 juta.
“Bagi permulaan, sebanyak 59 unit rumah mampu milik akan dibina di kawasan SPK Kampung Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pantray, Daro.
“Rumah ini jika dinilai bersama tanah, tembok dan kemudahan utiliti berharga hampir RM300,000, namun dijual pada harga RM150,000 kerana kos tanah dan infrastruktur ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
“Kerajaan juga menyediakan deposit RM10,000 kepada pembeli, manakala baki pembiayaan boleh diperoleh melalui Mutiara Mortgage dengan kadar keuntungan hanya satu peratus bagi kos perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Rumah Contoh Model Sapphire di Tapak Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pantray, Daro hari ini.
Menurut Abang Johari, menerusi skim itu pembeli hanya perlu membiayai kira-kira RM140,000 yang boleh dibayar dalam tempoh 15 hingga 20 tahun dengan ansuran bulanan sekitar RM200 hingga RM250.
Katanya, pendekatan itu membolehkan rakyat memiliki rumah berkualiti tanpa menanggung kos permulaan yang tinggi.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa reka bentuk rumah turut disediakan secara prakelulusan bagi memudahkan pemilik membuat pengubahsuaian atau pembesaran pada masa hadapan tanpa perlu melalui proses kelulusan baharu.
“Dengan sedikit penambahan kos, rumah ini boleh diperbesarkan menjadi rumah dua tingkat.
“Model seperti ini telah berjaya dilaksanakan di Kampung Datu, Sibu dan terbukti meningkatkan nilai hartanah pemilik,” katanya.
Pada masa yang sama, Abang Johari berkata model perumahan itu akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Mukah, Semop dan Matu bagi memenuhi permintaan terhadap perumahan luar bandar.
Selain itu, katanya, pembangunan infrastruktur seperti jaringan jalan raya dan Jambatan Batang Lassa yang menghubungkan Daro dengan Sibu serta kawasan lain turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi selain meningkatkan permintaan terhadap perumahan di daerah berkenaan.
“Pendekatan baharu itu bukan sahaja menyediakan rumah mampu milik, malah mewujudkan komuniti luar bandar yang lebih moden dan berkualiti, sekali gus meningkatkan nilai aset rakyat Sarawak,” ujarnya.



