Rumah musnah terbakar di Kampung Melangangai

LIMBANG: Sebuah keluarga berjaya menyelamatkan diri sebelum rumah mereka musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Melangangai, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Timbalan Pengarah JBPM Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.57 pagi dan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah telah terbakar 100 peratus.

“Bomba kemudiannya menjalankan operasi pemadaman untuk mengawal kemerebakan api ke rumah berdekatan.

“Api berjaya dikawal pada jam 10.20 pagi dan kerja kerja pemadaman diperingkat “overhaul” sedang dijalankan oleh anggota operasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya juga, kerja-kerja pemeriksaan menyeluruh masih dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca api.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.