ARTIKEL

Dr Mohammad Razi merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu lain dan peserta program pada Majlis Penangguhan Program KOMPAK di Dewan Perpaduan, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

Rumah panjang digalak sedia inap desa – Razi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Masyarakat luar bandar digalak menyediakan perkhidmatan inap desa di rumah panjang masing-masing sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti yang mampu menawarkan pengalaman budaya unik, selain menjana pendapatan sampingan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, penyediaan inap desa di rumah panjang masih kurang sedangkan permintaan meningkat, terutama ketika acara atau program berskala besar.

“Malah, terdapat penjawat awam dari Semenanjung Malaysia yang berminat untuk tinggal di rumah panjang bagi merasai sendiri pengalaman serta keunikan kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Komuniti Prihatin, Aktif dan Kompeten (KOMPAK) di Dewan Perpaduan, di sini, hari ini.

Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu memainkan peranan mengenal pasti serta mengetengahkan potensi pelancongan di kawasan masing-masing dengan jaringan perhubungan yang semakin baik.

Katanya, Program Inap Desa Pengalaman Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi peluang kepada komuniti luar bandar menjadikan kediaman mereka sebagai produk pelancongan.

“Selain memelihara warisan budaya, pembangunan pelancongan komuniti turut membuka peluang ekonomi melalui aktiviti inap desa, penghasilan kraftangan, penyediaan makanan tradisional dan persembahan kebudayaan,” katanya.

Sehubungan itu, Razi berkata Program KOMPAK turut menjadi platform untuk memperkenalkan peluang serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat luar bandar, khususnya dalam sektor pelancongan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meninjau projek menaik taraf Klinik Kesihatan (KK) Debak yang kini sudah dimulakan dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan.

Projek bernilai RM11 juta menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak yang disalurkan melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan menyediakan kemudahan kesihatan lebih baik kepada penduduk.

“Kerajaan membina bangunan dua tingkat yang akan menempatkan unit Klinik Ibu dan Anak (KIA) serta Klinik Pergigian Debak.

“Insya-Allah, kerja merobohkan bangunan lama akan bermula minggu hadapan sebelum pembinaan bangunan baharu dilaksanakan,” katanya.

Sementara kerja pembinaan dijalankan, perkhidmatan KIA akan beroperasi di bangunan belakang yang telah ditambah baik oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU