KUCHING: Penduduk rumah panjang di kawasan terpencil Sarawak berhadapan risiko kebakaran tinggi dengan 36 kes direkodkan dalam dua tahun lepas, sekali gus menekankan keperluan langkah pencegahan dan sokongan pemadaman yang lebih efektif.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah merekodkan lebih 9,000 panggilan kecemasan setiap tahun dari 2023 hingga 2025.
Insiden kebakaran ini menyumbang kira-kira satu perempat daripada panggilan, manakala operasi penyelamatan membabitkan majoriti.
Sementara itu, tugas khas dan panggilan palsu kekal rendah. Dalam pada itu, operasi kebakaran dalam tempoh tiga tahun lalu telah menyelamatkan ratusan orang, walaupun kematian dan kecederaan masih menjadi kebimbangan.
Setakat Januari 2026, 12 orang diselamatkan, tiga meninggal dunia dan seorang cedera.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran berkata, JBMP Sarawak berhasrat untuk mengukuhkan kesedaran komuniti terhadap kebakaran terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
“Ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam kesejahteraan, kasih sayang dan keselamatan awam.
“inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan komuniti supaya lebih berdaya tahan, berpengetahuan dan prihatin terhadap keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak Tahun 2026 Peringkat Zon Kuching di Emart Batu Kawa, hari ini.
Tambah beliau, keselamatan rumah merupakan asas kesejahteraan keluarga dan komuniti.
“Melalui program ini, kami berharap dapat memupuk budaya kesedaran, tanggungjawab, dan kesiapsiagaan.
“Justeru, inisiatif keselamatan rumah ini menyasarkan komuniti yang mudah terdedah,”ujarnya.
Untuk makluman, inisiatif yang dilakukan termasuk Program Kesedaran SURI atau Pasukan Pengurusan Risiko Rumah CELIK SURI yang dilancarkan oleh Datuk Seri Fatimah Abdullah pada Disember 2020.
Program ini membekalkan suri rumah dengan pengetahuan mengenai kesiapsiagaan kebakaran, pengurusan risiko dan keselamatan rumah selain sebagai persediaan mereka sebagai barisan hadapan dalam pencegahan kebakaran di rumah.

